Kalau satu hari nanti, umur masih
panjang dan produktif (punyai anak-anak kecil dan cerdik) – seraya menuding
jari ke arah koleksi buku-buku yang aku miliki di bookshelves yang disusun mengikut kategori – politik, humanisme,
pendidikan,bahasa, linguistic, etc.
Dan bertanyakan mana datangnya buku-buku itu, aku akan menjawab kepadanya
secara terus terang.
Ada buku-buku yang kawan ayah
hadiahkan sempena Hari Lahir dan Majlis Perpisahan. Bukan sekadar kawan,
guru-guru dan ustaz-ustaz juga ada berikan sebagai tanda penghargaan dan
dorongan untuk mencintai ilmu . Dan ada di antara buku-buku itu adalah karangan
mereka sendiri – ada yang dah jadi bestseller.
Kebanyakan buku-buku itu ayah beli
di MPH atau Kinokuniya - dengan baucer
buku rm 250 yang diberikan oleh kerajaan ; Antara sumbangan terbesar kerajaan
Barisan Nasional ketika itu (walaupun kadangkala banyak kekurangannya). Baucer
yang sering disalahgunakan oleh mahasiswa untuk membeli komik dan alatan sukan.
Ada juga buku yang terbeli hasil dari perit jerih ayah bekerja sebagai guru
ganti dengan gaji serendah RM 600 sebulan dan kemudian mendapat tawaran yang
lebih baik sebanyak RM 1800 sebulan. Lebihan wang belanja itulah ayah guna
untuk beli buku dan baca kandungannya. Sebab ayah cintakan kecerdikan dan
kebijaksanaan (sapiosexual).
Kerana itu banyak buku ayah yang
bersifat deep thinker dan banyak
bermain dengan konsep ketuhanan, tetapi tidaklah sampai ke tahap pemikir
Nietchze yang digelar “pembunuh tuhan”. Cuma sekadar mempersoalkan hukum yang
direkayasa agar tidak menjadi taqlid buta – seorang mahasiswa harus membuat
kajian dan fakta, bukan sekadar percaya kepada cerita penglipur lara dan
ustaz-ustaz FB seperti Ustaz Abu Syafiq yang suka menabur fitnah atas nama
agama. Lazimnya buku-buku deep thinker ni
ayah dapatkan dari seorang kawan yang baik dan berpendidikan, Loqman Karimn
(telah kembali ke Rahmatullah). Al Fatihah untuk beliau yang terlibat dalam
tragedi Gunung Kinabalu 2015.
Zaman kau nanti, ayah tau dah tak
banyak publisher yang nak publish buku-buku yang dicetak. Ramai
yang akan baca ebook, pdf dan
menggunakan kindle dan gajet-gajet
lain. Yang nampak lebih cool dan
urban – Tapi ayah tak pernah suka semua itu (boleh panggil ayah oldskool).
Sebabnya bila membaca buku, bukan kandungan semata-mata yang diinginkan, tapi
kepuasan membaca helaian demi helaian dan bau aroma buku itu sendiri.
Especially buku-buku lama yang baunya mampu menarik kau ke zaman itu, Syahdu !
Mungkin juga syarikat-syarikat buku
Indie akan bertambah banyak atau mungkin juga Fixi, Lejen Press, Dubook, Buku
Hitam dan yang seangkatan dengannya akan pupus dan gulung tikar kerana tiada
isu baru dalam masyarakat yang harus diketengahkan.
Tarbiah maksudnya apa ayah ? (jika
ada soalan seperti itu)
Oh , ada satu kategori “tarbiah”di
satu sudut paling kanan. Apa maksud tarbiah ? Susah nak explain kepada kanak-kanak sekecil kamu. Kerana tarbiah jugalah kamu
lahir – mungkin. Dan mungkin kerana tarbiah juga kau mampu bertanya soalan yang
sofistikated ini kepada ayah. Ayah tak mahu ceritakan segala pengalaman tarbiah
yang diperoleh dalam hidup bermula dengan peluang belajar ke luar negara (Perancis) itu kerana kau juga akan merasai nikmatnya.
Ayah cuma mahu kau ikut jejak Pakcik
Ammar yang syahid ketika menuntut ilmu di Turki – kau patut baca buku itu, ada
banyak publisher yang menulis tentangnya, dan buku itu ada di rak tersebut. Atau kau juga boleh jadi seperti Salim Fillah dan Fathi Yakan yang banyak menulis untuk manfaat
orang lain. Tetapi sebelum menulis, kau harus banyak membaca.
Percaturannya mudah ;
Baca
Baca
Baca
Dan tulis.
Jika Gilgamesh berjaya mendapatkan
ubat kepada kematian iaitu penulisan, kau juga mampu menemukan untuk terus
hidup dalam keabadian melalui penulisan.
Bacalah banyak buku sebab itu sahaja
cara untuk melepaskan diri (emansipasi ) dari kebodohan mutlak dan abadi.
Jangan hanya mengikut tanpa ilmu. Harus berani sesekali untuk meningkah. Jika
hanya pandai mengikut membuta tuli, lebih baik jadi bebiri.
Ada juga orang yang
tahu sesuatu benda itu salah tapi masih mengikut dan mengamalkannya – untuk
menjaga kepentingannya. Jangan pernah kau jadi penjilat, pengampu, dan pembodek
untuk kemewahan yang sementara ini.
Panjang huraian
ayah berkenaan buku ini. Suatu hari nanti, bila anak-anak ini menginjak sedikit
dewasa, mungkin dia akan bertanya tentang muzik dan fotografi. Dan waktu itu,
aku perlu menulis sekali lagi.
Dan apa yang
penting, rak buku itu semakin lama, semakin sempit.
No comments:
Post a Comment